Showing posts with label Sukan. Show all posts
Showing posts with label Sukan. Show all posts

Saturday, 14 May 2011

City juara Piala FA, United juara liga



LONDON - Dua kelab berjiran, Manchester City dan Manchester United mencatat sejarah tersendiri apabila masing-masing menjulang satu piala, semalam.

Jika City mengakhiri kemarau 35 tahun dengan merangkul Piala FA, United pula muncul juara Liga Perdana England buat kali ke-19.

City yang dibimbing Roberto Mancini merealisasikan impian besar itu selepas menewaskan Stoke City 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Wembley.

Gol tunggal dan kemenangan City dijaringkan Yaya Toure pada minit ke-74 selepas gagal menembusi kubu Stoke di babak pertama.

Gol berpunca daripada gerakan yang dimulakan Mario Balotelli itu sebelum menjelmakan laluan buat Yaya melakukan sepakan kencang kaki kiri menewaskan penjaga gol lawan, Thomas Sorensen.

Terdahulu Sorensen menjadi duri dalam daging buat jentera serangan City apabila kerap menyelamatkan percubaan bahaya menerusi aksi cemerlangnya.

Sementara itu, United mengesahkan kejuaraan Liga Perdana England buat kali ke-19 lebih awal selepas berjaya mengikat Blackburn Rovers 1-1 di Ewood Park semalam.

United hanya memerlukan satu mata sahaja daripada perlawanan itu untuk merampas semula gelaran tersebut daripada juara musim lepas, Chelsea.

Ternyata The Red Devils berjaya merealisasikannya apabila Wayne Rooney menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti 17 minit sebelum per mainan tamat selepas penjaga gol Blackburn, Paul Robinson menjatuhkan Javier Hernandez dalam kotak penalti.

Sebelum itu, pemain Australia, Brett Emerton meletakkan Blackburn lebih dulu di depan pada minit ke-20 sebelum jaringan penalti Rooney akhirnya berjaya menghilangkan resah The Red Devils pada babak kedua.

Kejayaan ini menyaksikan United berjaya mengatasi rekod kejuaraan terbanyak yang sebelum ini dipegang bersama dengan musuh ketat, Liverpool yang menjulang 18 kali gelaran setakat ini. -Kosmo

Monday, 25 April 2011

Messi cipta sejarah 50 gol

MADRID: Bintang Argentina, Lionel Messi menjadi pemain pertama menjaringkan 50 gol dalam satu musim bola sepak Sepanyol ketika Barcelona dan musuh tradisi, Real Madrid kedua-dua meraih kemenangan menje-lang pertembungan Liga Juara-Juara yang dinanti-nantikan.

Messi mencapai mercu tanda terbaru itu tiga minit sebelum tamat dalam kemenangan 2-0 pasukannya ke atas Osasuna ketika Barcelona mengekalkan pendahuluan lapan mata di atas La Liga.

Dia sebelum ini menyamakan pencapaian terbaik 49 gol dijaringkan legenda Real Madrid, Ferenc Puskas apabila menjaringkan gol dalam keputusan seri 1-1 menentang Real hujung minggu lalu. Kini Messi sudah mengumpulkan 31 gol dalam liga dan sembilan dalam Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan Piala Raja-raja dengan dengan tujuh dan tiga dalam Piala Super Sepanyol.

Terdahulu kelmarin, Real membenam Valencia 6-3 untuk meletakkan asas bagi pertembungan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Rabu di gelanggang tempat sendiri, Bernabeu.

Pada pertengahan minggu, harapan Barca untuk merangkul trebel berakhir apabila Real menewaskan mereka 1-0 pada final Piala Raja-raja, tetapi jurulatih Pep Guardiola enggan memperbesarkan ia dengan berkata liga adalah keutamaan mereka.

Namun, menjelang satu lagi ‘clasico’ di Eropah, Guardiola memilih untuk meninggalkan Messi, Xavi Hernandez dan Andres Iniesta di bangku simpanan menentang Osasuna.
Jeffren Isaias yang beraksi cemerlang menyumbang hantaran lintang pada minit ke-24 buat pemain antarabangsa Sepanyol, David Villa untuk menamatkan kemarau jaringan paling lama selepas melalui 11 perlawanan dan dua bulan tanpa menjaringkan gol. - AFP

Sunday, 10 April 2011

Vettel juara F1 GP Malaysia

SEPANG: Juara dunia, Sebastien Vettel memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang sebentar tadi untuk menguasai permulaan musim ini.

Pelumba Red Bull dari Jerman itu melengkapkan kemenangan kedua berturut-turut dalam dua perlumbaan, mengatasi pelumba McLaren, Jenson Button, di tempat kedua dan pelumba Lotus Renault, Nick Heidfeld di tempat ketiga.
Seorang lagi perlumba Red Bull, Mark Webber, menyusul di tempat keempat. - AFP


Keputusan:

Klasifikasi perlumbaan awal:

1. Sebastian Vettel (GER) Red Bull Racing 1 jam 37 minit 39.832 saat 2. Jenson Button (GBR) Vodafone McLaren Mercedes 1:37:43.093s
3. Nick Heidfeld (GER) Lotus Renault GP 1:38:04.907s
4. Mark Webber (AUS) Red Bull Racing 1:38:06.216s
5. Felipe Massa (BRA) Scuderia Ferrari Marlboro 1:38:16.790s
6. Fernando Alonso (ESP) Scuderia Ferrari Marlboro 1:38:17.080s
7. Lewis Hamilton (GBR) Vodafone McLaren Mercedes 1:38:29.789s
8. Kamui Kobayashi (JPN) Sauber F1 Team 1:38:46.271s
9. Michael Schumacher (GER) Mercedes GP Petronas F1 Team 1:39:04.728s
10. Paul di Resta (SCO) Force India F1 Team 1:39:11.395s
11. Adrian Sutil (GER) Force India F1 Team 1:39:21.211s
12. Nico Rosberg (GER) Mercedes GP Petronas F1 Team - 1 pusingan
13. Sebastien Buemi (SUI) Scuderia Toro Rosso - 1 pusingan
14. Jaime Alguersuari (ESP) Scuderia Toro Rosso - 1 pusingan
15. Heikki Kovalainen (FIN) Team Lotus - 1 pusingan
16. Timo Glock (GER) Marussia Virgin Racing - 2 pusingan
17. Vitaly Petrov (RUS) Lotus Renault GP - Tidak tamatkan perlumbaan (DNF)

Tidak diklasifikasi:

- Vitantonio Liuzzi (ITA) HRT F1 Team - DNF
- Jerome d''Ambrosio (BEL) Marussia Virgin Racing - DNF
- Jarno Trulli (ITA) Team Lotus - DNF
- Sergio Perez (MEX) Sauber F1 Team - DNF
- Rubens Barrichello (BRA) AT&T Williams - DNF
- Narain Karthikeyan (IND) HRT F1 Team - DNF
- Pastor Maldonado (VEN) AT&T Williams - DNF