Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Monday, 25 April 2011

Lebih 9,000 calon dapat semua A

Seramai 9,239 calon berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas berbanding 7,987 calon pada 2009 iaitu peningkatan seramai 1,252 calon.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, keputusan itu adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun.

Menurut beliau, seramai 363 calon berjaya memperoleh Gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki pada 2010 berbanding sekadar 214 calon pada 2009.

Kata beliau lagi, calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C bagi semua pelajaran juga meningkat iaitu daripada 60,114 calon (2009) kepada 68,114 calon tahun lepas.

“Keputusan SPM 2010 merupakan yang terbaik sejak empat tahun lalu terutama dari segi peratusan bilangan calon yang memperoleh sijil, mendapat keputusan cemerlang dan lulus semua mata pelajaran yang diduduki.

“Ia dipengaruhi dengan dasar mengehadkan jumlah maksimum mata pelajaran yang boleh diambil pelajar pada tahun lepas,” katanya semasa mengumumkan keputusan SPM 2010 di Bilik Mesyuarat Utama, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) di sini semalam. -Kosmo

UiTM beri status autonomi 4 kampus

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) memberi status autonomi kepada empat kampus cawangannya sebagai usaha memberikan kebebasan pengurusannya mentadbir urus pentadbirannya dengan lebih cekap dan berkesan.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar. berkata keempat-empat kampus berkenaan ialah UiTM cawangan Dungun, Terengganu; Arau (Perlis); Seri Iskandar (Perak) dan Kota Samarahan (Sarawak).
Beliau berkata, status autonomi itu membolehkan keempat-empat kampus cawangan berkenaan lebih bebas dalam aspek pentadbiran kampus masing-masing, pengurusan hal akademik dan pelajar, pengurusan kewangan dan penjanaan pendapatan serta pembangunan sumber manusia.
Bagaimanpun, katanya, status autonomi tidak bermakna kampus berkenaan beroperasi sendiri atau tidak bertanggungjawab kepada Naib Canselor.

“Dari segi bajet contohnya, kampus autonomi masih mendapat dana menerusi UiTM Kampus Induk Shah Alam yang bajetnya disalurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Kampus berkenaan boleh membuat keputusan sendiri membabitkan pembelian kenderaan, pengambilan pelajar dan pensyarah sambilan serta kakitangan tetap, memilih klinik panel dan mengadakan konvokesyen sendiri,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Katanya, keempat-empat kampus autonomi itu mempunyai kira-kira 40,000 pelajar, iaitu kira-kira 20 peratus daripada 200,000 pelajar UiTM seluruh negara.
Beliau berkata, semua kampus autonomi itu juga ditadbir rektor yang mempunyai rekod pentadbiran cemerlang dan mampu bertindak tanpa pengawasan kampus induk.

Sahol Hamid berkata, pihaknya bercadang memberi status sama kepada tiga lagi kampus cawangannya, iaitu Merbok, Kedah; Permatang Pauh (Pulau Pinang) dan Lendu (Melaka),” katanya.