Friday, 13 May 2011

MB: BN yakin boleh pertahan Johor PRU-13



Umno Johor tetap yakin dengan tahap sokongan pengundi di negeri itu, yang dikategorikan sebagai antara kubu kuat Barisan Nasional (BN), kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Abdul Ghani Othman hari ini.

“Johor masih salah satu (kubu kuat) BN yang anda boleh dapati di negara ini. Kami yakin dengan sokongan pengundi,” kata beliau di sini.

Ghani juga berkata, Umno Johor sudah bersedia dan telah menggerakkan jenteranya ke peringkat “peti undi” menjelang pilihan raya umum tergempar yang disebut-sebut akan diadakan tahun ini.

“Kami sudah bersedia,” kata beliau.

Umno, parti teras BN, akan mengadakan pilihan raya olok-olok Julai ini sebagai latihan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Kata Ghani, Umno sedang bekerja keras di peringkat negeri ekoran arahan Datuk Seri Najib Razak selaku presiden Umno dan pengerusi BN agar jentera bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ghani, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno berkata, BN Johor tidak akan memandang mudah arah aliran sokongan, tetapi melahirkan keyakinan perikatan itu mampu mempertahankan penguasaannya di negeri selatan Semenanjung itu.

Beliau juga menafikan bahawa kompleks penapisan dan petrokimia bersepadu bernilai AS$20 bilion di selatan Johor, yang akan beroperasi akhir 2016, yang diumumkan Najib hari ini, bertujuan mendorong sentimen pengundi kelak.

Sebaliknya kata beliau, penduduk negeri Johor akan menghargai peluang pekerjaan dan bisnes yang bakal wujud daripada projek tersebut.

Dalam pada itu, laporan Bernama memetik Najib berkata, projek itu akan meningkatkan kapasiti penapisan Malaysia dalam produk seperti gasolin, bahan api jet dan diesel bagi memenuhi keperluan bahan api negara yang semakin meningkat serta merangsang eksport bahan api.

Projek berkenaan yang dikenali sebagai Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (RAPID) kini di peringkat kajian kebolehlaksanaan terperinci dan akan terdiri daripada kilang penapis minyak mentah, pemisah nafta yang akan menghasilkan kira-kira tiga juta tan etilena, propilena, C4 dan C5 olefin setahun dan sebuah kompoleks polimer dan petrokimia yang boleh mengeluarkan pelbagai bahan kimia khusus.

Katanya, projek itu merupakan satu langkah berani oleh Petronas dan cadangan 300,000 tong sehari kapasiti penapisan minyak mentah di bawah RAPID adalah lebih besar daripada gabungan kapasiti kilang penapis sedia ada Petronas di Melaka dan Kerteh.

“Cadangan pembangunan petrokimia itu juga melebihi gabungan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kerteh dan Gebeng di bahagian timur semenanjung Malaysia.

“RAPID bukan satu daripada projek permulaan (EPP) yang ditetapkan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP), apa yang dilakukan Petronas adalah seiring dengan aspirasi kerajaan untuk mengubah Malaysia kepada hab industri petroleum utama di rantau ini,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan semasa mengumumkan projek dan pelaburan baru tersebut di ibu pejabat Petronas di sini.

Perdana Menteri berkata projek-projek berkenaan menyediakan jentera utama kepada Malaysia yang dapat menarik pelaburan langsung asing ke dalam negara, memperkukuhkan pelaburan swasta dan memperluaskan akses negara kepada teknologi bertaraf dunia.

Beliau berkata projek berkenaan bukan hanya memudahkan usaha meningkatkan kemampuan perindustrian negara kepada aktiviti nilai tambah tinggi tetapi juga membolehkan usaha menguasai sebahagian besar produk pewujudan nilai di Malaysia bagi memperkukuh serta mencapai Pendapatan Negara Kasar (PNK).

“Tambahan pula, dengan 4,000 peluang pekerjaan untuk pekerja berkemahiran tinggi diwujudkan dalam sektor minyak dan gas, saya yakin projek RAPID juga akan menyediakan platform untuk generasi baru profesional teknikal untuk membangunkan kemahiran dan kemampuan mereka,” kata Najib.

Peluang pekerjaan yang ditawarkan semasa fasa pembinaan projek itu akan tentunya lebih besar berbanding anggaran 20,000 pekerjaan dan akan turut melibatkan kesan limpahan lain yang bakal diwujudkan dalam sektor ekonomi lain yang berkaitan, kata beliau.

Selain projek RAPID, Najib berkata Petronas juga akan menilai kebolehlaksanaan Terminal Penerimaan dan Pengegasan Gas Asli Cecair.

“Sekiranya cadangan berkenaan membuktikan kebolehlaksanaan, ini akan menjadi terminal kedua sedemikian dalam negara, tambahan kepada yang telah ada di Melaka, yang akan terus meningkatkan jaminan bekalan gas di semenanjung Malaysia,” katanya. -TMI

Komen Anda

0 Responses to "MB: BN yakin boleh pertahan Johor PRU-13"