PAS kini tidak lagi fokus memperjuangkan Islam sebaliknya lebih kepada berjuang mempertahankan DAP, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, pemikiran orang Melayu dalam parti itu telah jauh berubah berbanding semasa PAS di bawah kepimpinan bekas Yang Dipertuanya Allahyarham Prof Burhanuddin Al Helmi dan bekas Presiden Allahyarham Datuk Asri Muda.
Beliau berkata, ketika ini pemimpin dan anggota PAS sanggup bermati-matian mempertahankan DAP walaupun sebelum ini Pengerusi DAP Karpal Singh menyanggah gagasan penubuhan negara Islam seperti yang dikehendaki parti itu.
"Sampaikan Nik Aziz (Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sekarang bukan main lagi pertahankan DAP, dulu tengok DAP pun tak boleh bila DAP kata langkah mayat kami dulu kalau hendak tubuh negara Islam.
"Tetapi sekarang ini orang PAS pula kata langkah mayat aku kalau hendak dera Karpal Singh...suasana dah terbalik," katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Cheras di Dewan Utama, Pusat Rekreasi Cheras di Kuala Lumpur, hari ini.
Bekas presiden Umno itu berkata perpecahan di kalangan orang Melayu hari ini juga dimulakan oleh PAS apabila ulamak yang asalnya dalam Umno bertindak keluar parti dan menubuhkan PAS setelah tidak berpuas hati kerana tidak diberikan tempat.
"Puncanya orang Umno yang pandai bahasa Inggeris diberi tempat, mereka golongan yang pandai bahasa Arab tetapi tidak pandai bahasa Inggeris merasa tidak diberi tempat," katanya.
Dr Mahathir juga menyelar tindakan Nik Aziz yang gemar memutar belit ayat al-Quran dan berbohong demi untuk mengekalkan kuasa.
Menteri Besar Kelantan itu dakwa Dr Mahathir sanggup berkata dengan memetik ayat al-Quran bahawa tidak salah orang Islam berpecah dua.
Beliau berkata, atas landasan itulah, Umno dari dulu lagi menyangkal yang PAS memperjuangkan Islam dan keadaan itu makin ketara apabila semakin banyak pembohongan yang dibuat oleh pemimpin PAS itu. - Bernama
Monday, 9 May 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Komen Anda
0 Responses to "Dr Mahathir selar PAS"